Isnin, 3 Oktober 2011

Tidak akan hilang melayu di dunia

Beberapa hari yang lalu saya dijemput untuk menghadiri majlis perasmian MTEM yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato Seri Najib Tun Razak.  Sudah hampir 4 bulan saya tidak menghadiri majlis dan perhimpunan sebegini rupa setelah pulang ke Kuala Lumpur.  Saya telah dijemput oleh rakan rakan dari PERKASA yang telah membeli beberapa buah meja (walaupun saya bukan ahli Perkasa, tetapi amat menghargai dipelawa untuk mendengar amanat PM berkaitan kedudukan usahawan Melayu pada hari ini).  Rakan rakan saya ini juga kesemuanya adalah Ketua ketua Cawangan sebuah parti politik.  Majlis itu diadakan pada waktu malam di Dewan Universiti Perdana yang terletak di tengah tengah ladang MARDI.  Apabila sampai, dilihat begitu ramai manusia mungkin mencecah angka ribuan.  Pelbagai jenis insan yang datang, ada yang tua, perempuan, lelaki, yang berkerusi roda, kanak kanak yang baru berumur setahun.  Kelihatan mereka datang dengan penuh harapan, jelas dapat dilihat menerusi air muka dan sinar dari mata mereka.  Kemungkinan mereka ingin mengetahui adakah bangsa Melayu ini masih relevan atau masih kompetitif,  di dalam dunia yang penuh dugaan dan tipu muslihat.  Di dalam blog pada hari ini saya ingin membicarakan dua perkara "survival orang Melayu adakah masih relevan?" dan "sikap lupa diri".

Pada malam tersebut kami pergi menuju ketempat yang telah dikhaskan untuk kami, malangnya kesemua meja meja yang berada disitu diduduki oleh orang yang tidak dikenali, pada mula ada juga bisikan dari rakan rakan untuk meminta mereka yang tidak dikenali  beredar dari tempat tersebut.  Tetapi atas semangat tulus perjuangan, kami mengalah dan akhirnya berdiri di satu sudut untuk mendengar amanat PM.  Ada yang berkata kalau PM umumkan esok tarikh pilihanraya, maka pasti BN akan menang melihatkan sokongan dan ribuan manusia yang berada disitu.  Tetapi saya melihat ianya adalah satu kesilapan besar jika hanya menggunakan jumlah manusia sebagai ukuran sokongan.  Sebelum PRU 12 dahulu ribuan manusia yang datang ke komplek Belia Shah Alam sewaktu lawatan PM terdahulu, tetapi keputusannya Selangor jatuh ditangan pembangkang juga   Menang dan kalah adalah adat pertandingan, tetapi pertaruhan kali ini adalah "Survival orang Melayu".  Baca dengan teliti tuntutan Presidennya Dato Seri Chua So Lek, di dalam akhbar the Star 3hb Oktober yang mengariskan dengan jelas tuntutan perubahan yang diingin oleh MCA, akhbar Utusan Malaysia tidak melaporkan tuntutan tersebut tetapi hanya melaporkan, harapan Perdana Menteri supaya kita tidak mudah terpedaya. 

Kewujudan Melayu kelihatan seperti tidak dihormati lagi, kenapa...Melayu tidak ada kekuatan ekonomi, kekuatan yang ada pun diusahakan oleh PNB yakni oleh pakar pakar pelaburan Melayu yang bekerja disitu, pelabur Melayu hanya menunggu angka dividen saja, apabila dividen naik kita gembira apabila turun kita menyalahkan kerajaan.  Pelabur rata rata tidak mengamibl tahu syarikat mana yang dilaburkan, apa yang diusahakan dan oleh siapa?  Pelabur melayu harus mula "celik pelaburan" perlu mengambil tahu, yang baik disokong dan yang tidak ditegur..  Apabila PNB ingin menambah pegangan SP Setia, ianya telah dipertikaikan oleh pihak pihak tertentu.  Perlu ingat rata rata harga rumah yang dibina oleh pemaju amatlah mahal, pasti tidak ramai orang Melayu yang mampu membelinya, yang pasti adalah setakat melihat sahaja.  Bacalah buku the Tiger that Lost its Roar oleh Tony  Pua, Setiausaha Publisiti DAP, bagaimana beliau mengupas kedudukan ekonomi negara yang menggunakan segala fakta yang kelihatan tepat dari UNCTAD World Investment Report, World Federation of Exchanges, 4th-10th Malaysia Plans, UBS Investment Research, World Federation of Exchanges, World Bank, Syabas, Merrill Lynch dll.  Angka angka yang dinyatakan dalam buku tersebut adalah tepat,  yang ingin disoalkan adalah, adakah perbincangan yang menggunakan angka ini telah ditulis dengan adil atau diputar belitkan, hanya untuk memihak kepada satu satu pihak.  Bayangkan buku ini yang telah ditulis secara akademik dan ilmiah pasti memiliki kredibiliti yang akan dipercayai oleh semua pembaca. Apabila buku ini diedarkan di seluruh dunia, buku ini pasti menjadi "spectacle" atau "Window of Malaysia's Economy"  yang kelihatan mewakili suara kedudukan sebanar ekonomi negara.  Secara langsung dan tidak langsung akan menghalang peningkatan FDI negara yang menjadi rebutan negara negara membangun. 

Melayu perlu bangkit, perlu bangun dari perkara remeh temeh yang sentiasa menghantui dan membelenggu permuafakatan kita.  Isu hudud dibangkitkan sedangkan undang undang telah ada yang salah dihukum yang tidak di bebaskan, hanya pelaksanaan agak berbeza.., isu Anwar harus diketepikan, biar dia diadili oleh undang undang,  yang pasti "survival orang melayu" harus diutamakan dahulu.

Isu satu lagi yang ingin saya bangkitkan adalah isu sikap lupa diri.  Apabila Tun Mahathir berkata di dalam akhbar hari ini bahawa BN akan menanag besar jika  kepentingan diri tidak diutamakan adalah benar sama sekali...atau BN mustahil untuk menang jika perasaan taksub pada pemimpin tertentu dan tidak boleh menerima pemimpin yang lain, hasad dengki, dan sabotaj antara sesama sendiri.  Saya tidak banyak pengalaman berbincang dengan penyokong penyokong yang rata rata dari cawangan cawangan.  Kadang kala hanya di jemput menjadi ahli "think tanks" peringkat nasional, perkara yang dibincangkan hanyalah berkisar tentang dasar dan polisi saja.  Tetapi apabila diberi peluang berinteraksi dengan ketua ketua cawangan dan ahli ahli jawatankuasa cawangan, maka gambaran yang disebut oleh Tun semakin menjadi jelas.  Perbincangan hanyalah berkisar tentang siapa orang orang Ketua Bahagian, siapa macai macai mereka, kalau bukan akan dicantas.  Malah agihan peruntukan juga dibualkan..isunya ada yang dapat lebih ada yang tidak dapat langsung.  Tidak ada langsung perbincangan berkisar atas amanat Perdana Menteri, tidak ada perbincangan mengenai survival Melayu.  Bukanlah bertujuan untuk membuka pekong di dada, tetapi perlu mengambil iktibar dengan penuh keinsafan.  Jika kalah,  perbincangan ini tidak lagi relevan, hanya keadaan dan masa yang akan menentukan samada "tidak akan hilang melayu didunia ini".. Seandainya dunia dan bumi masih ada, orang melayu masih ada masa untuk melakukan sesuatu...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan