Khamis, 6 Disember 2012

Pelajar Generasi Baru

Melihat telatah pelajar kadangkala banyak yang melucukan dan kadangkala ada yang menyakitkan juga. Memerhatikan telatah mereka juga adalah satu terapi yang berkesan.  Rata rata kebanyakan mereka mereka berumur di antara 18 tahun hingga 23 tahun yang datang dari berbagai latarbelakang..

Sambil melihat mereka, baru sedar sudah hampir 25 tahun menjadi pensyarah.  Setiap tahun dan setiap semester muka muka yang baru akan muncul di dalam ruang kuliah.  Paras muka mereka tidak berubah, masih muda dan masih banyak yang perlu dipelajari...bila kita melihat cermin wajah kita jelas wajah ini telah ditelan usia namum ada sedikit sebanyak pengalaman yang boleh dikongsi.

Sambil memikirkan bagaimanakah mereka satu hari nanti dalam dalam usia yang sama dengan kita, bagaimana dengan kejayaan mereka, bagaimana dengan kebahagian mereka.  Perjalanan hidup mereka masih begitu jauh...mereka pasti akan menempuh banyak halangan..ranjau dan duri.  Hanya mereka yang tabah akan berjaya.

Pada hari ini kehidupan belia kita amatlah berbeza sewaktu kita menjadi pelajar. Dahulu tiada telefon bimbit, tiada komputer riba, tiada IPad, tiada Facebook, tiada Twitter dan tiada blog.  Alat alat ini semuanya adalah alat untuk berkomunikasi dan menyebarkan maklumat.  Adakah ini satu indikator mutlak untuk mengesahkan pelajar hari ini lebih berilmu.  Secara kontrarinya adakah pelajar dahulu tidak banyak ilmunya??

Kita maklum bahawa Ilmu itu adalah "Power" atau kuasa, persoalannya ilmu apa yang mereka perolehi dengan gajet gajet tersebut...adakah untuk kebaikan atau pun untuk kejahatan.  Adakah gajet gajet tersebut membenarkan kita berkata kata apa saja yang kita sukai walaupun mungkin ia berunsur tidak baik..mungkin membenarkan apa yang tidak boleh dahulu. Mungkin ada juga yang berkata kata tanpa memikul sepenuh tanggungjawap dengan apa yang diperkatakan...hanya berselindung dibelakang wajah wajah dan nama nama palsu.  Walaubagaimana kita akui ada juga mereka yang jujur dan berkata kata dengan baik tanpa mendedahkan identiti mereka.

Adakah fenomena ini akan mengubah lanskap pemikiran kita, cara kita melihat, cara kita menerima, Adakah ia akan mempengaruhi pertimbangan kita hasil dari perubahan persepsi.  Kita percaya akan berlaku anjakan pemikiran yang ketara dalam masa beberapa tahun terdekat ini.  Perhubungan di antara manusia sudah tidak akan sama lagi seperti yang pernah di lalui 20, 30, 50 tahun yang lalui. Adakah kita telah bersedia terutama untuk generasi lama untuk berdepan cara belia belia hari ini berkomunikasi. Jika ada diantara kita yang terlalu tradisional dan sensitif dalam berkomunikasi, pasti mereka ini akan sentiasa  makan hati, dan bersedih.  Untuk mengatasi, generasi lama harus buang atau menurunkan tahap sensiviti masing masing, apabila pandangan yang diberi oleh generasi muda begitu begitu tajam dan kritis.

Apa pun jika kita masih ada nilai hormat menghormati diantara satu sama lain, kehidupan ini akan menjadi lebih selesa dan gembira....  

Isnin, 20 Februari 2012

Kisah ITM dan Parkir

Baberapa hari yang lepas saya telah mempengerusikan mesyuarat berkaitan tempat letak kereta di Kampus Puncak Alam. Bertanya saya kepada diri, kenapa perlunya satu mesyuarat khas perlu diadakan hanya untuk menangani berkaitan tempat letak kereta. Apakah isu nya?...adakah ianya berkaitan tempat kereta yang disediakan tidak digunakan oleh mereka yang sepatutnya menggunakan dan ada yang telah mengamibl tempat kereta kepunyaan orang lain. Mengapa terjadi begitu kepada masyarakat kita yang sepatutnya nilai hormat menghormati menjadi teras kehidupan.  Adakah bau bau kehidupan berbentuk anarki sudah berputik dikalangan kita..yang tidak mahu menghormati undang undang dan peraturan.  Persoalannya adakah tempat kereta tidak mencukupi di sebuah kampus yang sebegini luas, adakah kenderaan terlalu banyak atau adakah sikap kepada segelintir kita yang tidak mahu mematuhi undang undang kampus atau adakah pada hari ini kita telah mengambil tempat yang bukan menjadi hak kita?

Saya berfikir, saya merenung kembali kehidupan 32 tahun yang lepas sebagai pelajar di ITM di Shah Alam.  Dahulu kenderaan tidak begitu banyak, kereta hanya dimiliki oleh pensyarah pensyarah yang berpendapatan RM1000.  Sebagai pelajar bertuah jika kami dapat memiliki motorsikal, staf staf pentadbiran pun hanya menaiki motorsikal.  Pada hari ini, syukur alhamdullilah, ramai dikalangan kita mampu membeli kereta.  Rata rata ramai ibubapa yang mampu membelikan kererta untuk anak anak mereka pada hari ini.  Pada tahun 1984, Proton Saga 1.3 Orion dijual dengan harga RM18000, minyak RM1 satu liter, itu pun tidak ramai yang mampu.  Pada hari ini Proton Saga lebih mahal, apatah lagi dengan MYVI RM40000 (kereta kegemaran pelajar pada hari ini) dan minyak RM1.90 satu liter. Walaupun berganda lebih mahal tetapi ramai pelajar yang mampu memilikinya. Begitu  mewahnya kita dan bertuahnya kita dapat menjadi rakyat Malaysia.

Semasa saya menjadi pelajar ITM dahulu, rata rata ramai daripada kami sedar tentang untung nasib.  Kami bersyukur sebab ITM lah yang memberi peluang kepada kami untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan kaum kaum yang lain. Dulu dulu pada tahun 1970an bukan adanya program Matrikulasi dan Asasi yang selepas lulus akan terus belajar diperingkat ijazah sarjana muda.  Dulu hanya ada MCE, kalau resultnya bagus akan diberi peluang untuk mengambil A level dan selepas itu dihantar ke luar negeri.  Kalau yang kurang hebat akan meneruskan pengajian ke ITM mengambil diploma.  Memang benar dan tidak dinafikan ITM memberi talian hayat kedua, 2nd chance kepada ramai anak anak Melayu.  Dan kami syukur kerana diberi tempat untuk belajar, walaupun kemudahan pembelajaran begitu asas, tidak ada air-con, tidak ada LCD, tidak ada komputer, tidak ada internet dan tidak ada white board.  Tetapi kami seronok dan bersyukur.  Saya masih ingat emak memberikan RM80 sebulan dan kadang RM100 sebulan untuk perbelanjaan.  Itulah makan, itulah untuk assignment/projek dan itulah juga untuk belanja girlfriend.  Sememangnya tidak mencukupi..tetapi sebagai pelajar kena pandai adjust mengikut keadaan.  Dengan dasar kerajaan dan dasar ITM ingin membantu pelajar Melayu, pada hari ini rami daripada mereka telah menjadi Captain of the Industry.  Saya ingin bertanya kepada pelajar-pelajar di UiTM pada hari ini...berapa ramai ibu dan bapa mereka lulusan dari ITM? Kalau mereka adalah alumni UiTM, anda semua adalah hasil kejayaan kita semua yang patut kita banggakan.  Gunakan lah hasil kejayaan ibu bapa itu dengan sebaik baiknya.  Percayalah sebab adanya ITM/UiTM itu lah maka orang Melayu masih relevan pada hari ini..salah satunya.

Berbalik kepada isu parkir kenderaan, pertama, syukur kita mampu memiliki kereta. Kedua berfikir secara positif, kalau terpaksa letak kenderaan agak jauh sedikit bermakna kita "exercise" lebih sikit pada hari itu, dan banyak kalori telah dibakar dan baik untuk jantung. Ketiga dengan adanya kereta..insyallah perjalanan kita lebih selamat berbanding jika kita menaiki motorsikal ..Keempat walaupun susah dapat tempat letak kereta..yang pasti kita tidak perlu bayar parking sebab di UiTM 'free" (lawat lah universiti universiti lain terutama IPTS semua kena bayar parking).

Mungkin kalaulah ada teknologi untuk 'time traveller' pada hari ini mungkin kita boleh melawat mereka pada zaman dahulu dan buat perbandingan.  Mungkin selepas itu kita akan syukur dengan anugerah yang diberikan kepada kita pada hari ini. 

Khamis, 1 Disember 2011

Keselesaan dan Syukur

Hari ini genap 18 hari saya menjadi warga Puncak Alam dan Puncak Perdana.  Kelihatan diari saya dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang perlu saya hadiri dan sertai.  Pada mulanya ia kelihatan begitu banyak dan merasakan badan ini tidak dapat menampung aktiviti tersebut.  Tetapi setelah menghadiri beberapa program itu, saya mendapati ianya agak menyeronokan.  Terutama apabila dapat berjumpa dengan warga mahasiswa mahasiswi di kedua dua kampus.  Mereka begitu seronok dan gembira apabila dapat berjumpa PNC, berbagai perkara yang ingin disampaikan dan ingin dibuat.  Saya hanya mendengar dan tersenyum di dalam hati melihatkan semangat dan telatah anak anak muda (seperti anak anak saya sendiri), terutama beberapa MPP yang telah saya temui.  Terfikir dalam fikiran, apakah perkara pertama dan utama perlu saya perkenalkan untuk siswa siswi di sini?.  Ada juga yang membangkitkan isu isu berkaitan 'parking'.  Secara mata kasar saya melihat Puncak Alam memiliki kawasan yang amat luas, dan kenapa pula ada masalah tempat letak kereta?  Malah pihak pengurusan juga telah meratakan satu kawasan yang agak luas untuk dijadikan tempat letak kereta.  Setiap hari saya melalui kawasan tersebut terdapat banyak tempat yang masih kosong.  Isunya kenapa masih ada bunyi bunyian berkemundangan...Selepas di teliti ramai daripada kita ingin meletakkan kenderaan mereka berdekatan dengan dewan kuliah..kenapa jadi begitu..adakah kita takut lewat ke kuliah?  Saya juga pernah menjadi pelajar, sebagai pelajar sememangnya semua tempat kereta itu diutamakan untuk kakitangan universiti.  Kebiasaannya tempat letak kereta pelajar agak jauh sedikit, tetapi ianya tidak menjadi masalah jika kita merancang perjalanan kita dengan teliti..insyallah kita akan sampai tepat pada masanya.  Kita harus dapat menanamkan rasa syukur dengan apa yang kita miliki...peluang untuk belajar, suasana pembelajaran yang serba cantik (setanding dengan kemudahan di negara barat...hanya sini panas sedikit) kesihatan, yang penting kepandaian dan kecerdikan yang kita miliki.  Semua yang kita alami ini adalah dugaan dan hanya sebentar sahaja

Rabu, 23 November 2011

Genap Seminggu Di Puncak Alam

Agak sekian lama saya tidak berkesempatan untuk menulis di dalam blog ini.  Mungkin alasan akan diberi..tetapi hakikatnya kesibukan yang dihadapi sekarang telah membantutkan penulisan ini.  Baru baru ini saya telah diberikan satu tanggungjawab yang besar oleh Naib Canselor untuk meneraju Kampus Puincak Alam dan Puncak Perdana.  Saya melihat ini adalah sebagai satu penghargaan dan kepercayaan yang diberikan oleh universiti.  Kebiasaannya perlantikan disertakan dengan tanggungjawab, dan tanggung jawab itu adalah amanah.  Amanah perlu dijaga dan dilindungi.  Walaubagaimanapun ianya tidak akan dapat dicapai jika tidak mendapat sokongan dari warga Puncak Alam dan Puncak Perdana.

Hari Selasa 15hb November adalah hari pertama saya sebagai Penolong Naib Canselor, 3 hari selepas dimaklumkan atas perlantikan tersebut.  Jika mengira hari kerja bermakna notis sehari saja di beri.  Selepas seminggu menmegang jawatan ini, di dapati kerjanya sebegitu banyak.  Untuk menguruskan kampus yang seluas lebih dari 1000 ekar bukanlah satu perkara yang mudah.  Malah tugasan ini juga disertakan dengan hampir 15000 mahasiswa mahasiswi dan lebih 1000 kakitangan akademik dan pentadbiran.

Hari kedua melihat perkara yang perlu dilakukan.  Dengan berbekalkan pesanan dan harapan Naib Canselor beberapa visi dan strategi secara pelahan pelahan menjelma di fikiran. 

Yang mana Puncak Alam/Perdana mesti menjadi sebuah universiti.  Maksudnya budaya yang diamalkan dan dijiwai oleh warganya mesti beroreantasikan kecermerlangan akademik.  Puncak Alam adalah kampus baru yang serba moden dan canggih.  Tidakada gunanya infrstruktur yang serba moden dan terkini, jika mentaliti warganya masih berada pada tahap mentaliti dunia ketiga...seperti yang sering disebut oleh mantan Perdana Menteri terdahulu.  Alhamdullilah, selepas dapat berjumpa dengan pengurusan Puncak Alam dan Puncak Perdana rata rata mereka memiliki aspirasi yang sama dengan saya iaitu untuk merealisasikan sebuah impian untuk menjadikan UiTM sebagai sebuah universiti yang tersohor.

Kecermerlangan Akademik tidak akan dapat dicapai jika suasana pembelajaran tidak kondusif.  Di sini gabungan pengisian program, warga yang proaktif dan dinamik di samping keadaan fizikal infra mampu memenuhi hasrat ini..

Rabu, 12 Oktober 2011

Kenangan Lalu

Syukur alhamdullilah, hari ini genap usia aku mencecah setengah abad.  Tersenyum sendirian mendengar suara hati bahawa dengan kurnia kesihatan yang sedia ada dapat juga melihat angka lima puluh.  Pagi ini terfikir bagaimanakah caranya untuk merayakan ulangtahun ini...saya berpendapat cukuplah merayakannya dengan penuh kesyukuran dan keinsafan.  Hari ni saya bercadang merayakan bersendirian..yaitu dengan mengimbas kembali perjalanan yang telah dilalui selama 50 puluh tahun yang lalu.

Sambil termenung bersendirian, perjalanan ini penuh dengan dugaan disusul dengan ranjau duri. Tak dinafikan juga kegembiraan yang dinikmati dengan segala kurnian yang telah diberi oleh Allah S.W.T. 

Teringat semasa zaman kanak kanak, terbayang bayang orang orang yang kita kasihi yang sekarang telah tiada.  Bagaimana kita dimanjakan dengan penuh kasih sayang , malah apa yang diingini akan dipenuhi.  Mengimbas kembali, mereka suka melihat telatah dan perangai semasa kecil, suasana ketawa dan girang kembali muncul.  Waktu itu sentiasa berfikir bahawa semua orang yang dikasihi ini akan sentiasa ada sampai bila bila...  Tidaklah terfikir bahawa satu hari mereka akan meninggalkan kita...kenangan akan tetap tinggal kenangan..segala ingatan, nasihat yang diberi sentiasa akan bersemadi di dada.

Teringat di sekolah kadang kadang seronok juga, saya  adalah school runner sekolah mewakili daerah.  Teringat semasa berlari berlumba berlawan dengan St John Institution (sekolah anak anak orang kaya pada waktu itu) saya terasa amat kerdil kerana hanya berlari berkaki ayam dan memakai seluar pendek dan bersinglet, mereka pula datang dengan track suit hijau yang cantik dengan logo sekolah malah menggunakan kasut 'spike'.  Alhamdullilah kami menang juga....hanya dengan kaki ayam.

Semasa disekolah saya bukan pelajar yang genius, tapi saya boleh mengakui saya "smart"...terutama dalam mengambil hati Cikgu. Saya teringat ada seorang guru bahasa melayu tingkatan tiga, di mana perangainya akan pasti meminta kami menjawab semua soalan yang ada dalam buku untuk bab yang telah diajar....Semasa kami menjawab beliau akan keluar dan duduk dibilik guru bersama guru guru yang lain. Semasa kawan kawan menjawab..saya hanya memerhatikan dan mengusik..sebab segala kerja tersebut telah saya diselesaikan dirumah..malah kesemua soalan dalam buku tersebut telah saya siapkan...  

Semasa kanak kanak ciri ciri usahawan itu ada juga, saya bersama kawan kawan membeli "board" tikam tikam di Setapak. Kami akan bawa tikam tikam kami untuk dijual, satu cubaan 10sen...hasilnya dapat lah keuntungan sebanyak $10.00. Waktu itu tak terfikir ianya adalah satu bentuk perjudian..malah orang orang dewasa yang ada disekeliling pada waktu itu tak ada yang datang menasihati kami dan beranggap ianya perkara biasa.  Hari ini tidak lagi kita melihat kedai menjual tikam tikam..tikam tikam yang hadiahnya adalah angpow, rokok 3 lima, cokelat, malah ada hadiah berbentuk jam juga. Begitulah keadaan telah berbeza..

Banyak lagi yang ingin saya ceritakan tentang kenangan yang lalu..mungkin ada masa nanti akan dicoretkan lagi peristiwa yang menjadi ingatan..

Khamis, 6 Oktober 2011

Masyarakat Yang Marah

Perkara yang ingin dicoretkan di sini adalah berkisar dengan "marah".  Dalam perjalanan untuk memenuhi tuntutan hakiki pada petang semalam iaitu perjalanan untuk ke kuliah, sebuah kereta Proton Waja wang dipandu oleh sesorang pemuda Melayu berumur 26 dengan tak sengaja atau sengaja telah melanggar "my old banger" Proton Iswara.  Berasa juga kekuatan hentaman oleh kenderaan tersebut.  Bayangkan jika tali pinggang tidak dipakai kemungkinan kepala boleh terhantuk di cermin depan, malah bagi mereka yang membawa anak kecil, (yang selalu saya perhatikan di antara tabiat orang orang kita) iaitu membenarkan anak kecil berdiri di kerusi hadapan tanpa tali keselamatan pasti akan berhadapan dengan padah dengan hentaman seperti yang saya alami itu.

Tanpa melengahkan masa saya memberhentikan kenderaan di tepi jalan sambil diikuti oleh kereta tersebut.  Di dalam hati berkata "apakah kata kata pertama yang perlu dikeluarkan apabila bersua muka nanti......adakah dengan maki hamum (kita tahu kita tak bersalah) atau pun bertanya khabar "Are you hurt..are you ok..?  Teringat semasa di England dahulu sewaktu belajar..apabila rakan sepengajian terlanggar kereta Mat Salleh...pertama yang ditanyakan Mat Salleh tersebut samada kita ada mengalami kecederaan atau pun tidak.  Ini adalah budaya yang saya hormati ..walaupun mereka bukan berugama Islam tetapi memiliki budi pekerti yang baik...pada mereka ini adalah kemalangan yang tidak ingin disengajakan..bagaimana kita cuba berhati hati di jalan raya, kemalangan tetap akan berlaku.  Atas nilai yang telah dipelajari tersebut maka sayapun lakukan sedemikian juga.  Bertanyakan khabar.. Saudara OK ke?  saya menyapa..kerut mukanya juga saya dah tahu pemuda tersebut cuba melakukan pendekatan "permusuhan".  Saya hanya melemparkan senyuman saja..sebelum beliau nak melemparkan kata kata maki hamun..saya terus berkata dengan beliau ..jangan bimbang kemalangan berlaku di mana mana tanpa sengaja..mungkin saudara tak perasan..akhirnya nya beliau tidak dapat berkata apa apa hanya terkelu dan terpingga pingga sahaja..hanya mengganguk persetujuan untuk menyelesaikan di luar sahaja.  Alhamdullilah tidak berlaku insiden insiden yang tidak manis.

Persoalannya kenapa kita perlu marah..saya melihat masyarakat kita begitu mudah untuk marah.  Marah di jalanraya, marah sebab traffic jam, marah di kedai makan kerana lambat dapat orde, marah melihat orang memakai kereta besar, marah melihat budak budak secara tidak sopan membawa kereta, marah kepada pemimpin, marah kepada ketua, marah kenapa tidak diberikan ganjaran, marah kepada kawan yang mendapat pangkat, marah kepada bayi luar nikah atas perbuatan mereka sendiri, marah kepada anak yang tidak cemerlang di sekolah..dan pelbagai lagi bentuk bentuk marah yang ada.  Malah perkara perkara kecil juga ingin dimarahi...seperti anak anak yang tidak gemar gosok gigi sebelum ke sekolah.

Kita harus ingat tidak semua manusia ingin di marahi...malah mereka akan menggunakan pelbagai  cara untuk tindak balas yang kadang kala tidak dapat di bayangkan bentuknya....ada yang senyap..ada yang membalas..ada yang menggunakan fizikal..malah yang kita takuti ada yang membunuh dan membunuh diri..

Sebenarnya marah ini adalah satu penyakit.  Setiap penyakit akan menyebabkan kehidupan kita tergganggu..kehidupan dari segi kesihatan..perhubungan keluarga..akibatnya kita akan mengalami stres..akibat stres..saluran atau pembuluh darah kita akan menjadi keras..dan mengakibatkan serangan sakit jantung, strok (angin akhmar) dan banyak lagi.  Pernahkah kita bertanya sebelum kita nak marah...adakah perkara ini berlaku disebabkan oleh kita sendiri juga..saya percaya, sedikit sebanyak, segala kemalangan, kejadian, hasil yang tidak baik, tidak  dinaikkan pangkat adalah akibat hasil dari perbuatan dari kita sendiri..walaupun andaian ini tidak disokong oleh mana mana penyelidikan saintifik.  Pernahkah kita terfikir apakah jalan penyelesaian yang terbaik..kalau anak anak tak cemerlang di dalam peperiksaan kemungkinan mereka tidak mendapat perhatian, tunjuk ajar yang sempurna..atau pun mereka di dalam golongan "slow learner" atau "late blommer".

Kita perlu menerima hidup ini sebentar saja...statistik dari WHO orang lelaki hidup disekitar 72 tahun dan wanita 76 tahun...bagi mereka yang sudah mencecah 50 tahun ini, kita hanya ada lagi lebih kurang 20 tahun saja lagi untuk menikmati kehidupan ini sambil berbakti..itu pun jikalau tidak ada apa apa yang berlaku..insyallah..

Nota: harap harap ramai yang gembira dengan Bajet yang akan disampaikan oleh Perdana Menteri kita esok..

Selasa, 4 Oktober 2011

Pemimpin di antara kita

Pada hari ini, saya teruja untuk membicarakan berkaitan kepimpinan.  Setiap insan di dalam dunia ini adalah pemimpin, tidak kira tahap mana mereka berada...samada bekerja sebagai Perdana Menteri, wakil rakyat, Ketua Bahagian, CEO, Naib Canselor, Pensyarah, Kerani, pembantu am rendah, buruh dan sebagainya.  Setiap pemimpin mempunyai tanggungjawab, tanggungjawab ini adalah amanah, amanah yang mana perlu di penuhi dengan sebaik baiknya.

Pemimpin dijadikan oleh Allah S.W.T adalah pelbagai, pemimpin yang mulia keperibadiannya, pemimpin yang boleh membimbing, pemimpin yang boleh mempengaruhi, pemimpin yang sentiasa membantu, pemimpin yang mampu memberi motivasi, pemimpin yang mampu merealisasikan visi menjadi kenyataan, pemimpin yang sanggup mengakui kesilapan, pemimpin yang berani mengamil risiko, pemimpin yang memenuhi segala janji yang dijanjikan, pemimpin yang mampu menyampaikan idea secara efektif, pemimpin yang sentiasa menunjukkan minat, pemimpin yang memberi 100% kepercayaan kepada pengikut yang telah dimanahkan, pemimpin yang sanggup duduk sama tinggi dan duduk sama rendah untuk mengetahui masalah pengikut mereka, pemimpin yang pemaaf, pemimpin yang menerima  kegagalan sebagai kunci kejayaan, pemimpin yang melihat warganya sebagai rakan kongsi, pemimpin yang mampu mengenepikan ego untuk belajar, pemimpin bijak pandai mengambil hati pengikutnya, pemimpin yang tidak bekerja bersendirian, dan pemimpin yang sanggup mewakilkan kerja beliau.  Malah senarai ciri ciri kepimpinan ini adalah teramat panjang untuk di coretkan, namun setiap pemimpin yang memiliki ciri ciri ini akan dihormati, disegani dan ingati selama selamanya. 

Di antara pemimpin yang saya hormati dan kagumi adalah adalah pemimpin yang sanggup melepaskan jawatannya demi prinsip walaupun masih ramai pengikutnya yang ingin beliau terus memimpin.  Pemimpin yang memiliki nilai nilai akan sentiasa  diingati kebaikannya generasi selepas generasi. 

Akhir kata "A great man is always willing to be little" - Ralph Waldo Emerson.  Yang bermaksud pemimpin tersohor tidak melihat sanjungan dan pujaan satu kemestian.  Ukuran kejayaan adalah pada produktiviti dan bukan untuk mengagungkan diri sendiri. Sentiasa merendah diri dan  syukur ke atas apa yang telah dikurniakan......selagi ada bumi dan langit pasti akan lahir pemimpin sejati.